Pada saat
usia mencecah alam dewasa, pastinya persoalan jodoh merupakan salah satu
perkara yang amat mengusutkan fikiran aku terutama sekali aku la kot..hahaha.
Soalan-soalan yang dilontarkan dari insan-insan sekeliling walaupun secara
gurauan, sindiran ataupun sebaliknya terasa sangat menyentap perasaan. Bila
berseorangan, aku rasa kurang keyakinan, rasa serba kekurangan, malu dan
tertekan...tertekan????? tak la tertekan mana kot :P
Kalau berkumpul dengan kawan-kawan, majoriti antara
diorang ada yang sudah menimang cahaya mata, dah bertunang, bakal bertunang,
bakal dirisik, da nada jugak yang sibuk buat persiapan perkahwinan sedangkan
aku hanya mampu memandang dan bermonolog dalam hati, "Bilakah waktunya untuk aku
merasai semua itu..." Hati rasa lebih tersentuh bila mak
bertanyakan aku “hang bila lagi?? Kawan-kawn lain semua dah beranak pinak…”. Aku
faham itu petandanya mak bagi green light kat aku kot..hahhahahaah….
Tapi itu
semua kehendak Allah, bukan kehendak aku. Tiada siapa pun dalam dunia ini yang
mahu hidup berseorangan. Namun aku harus akur dengan takdir Allah yang masih
belum mengizinkan aku untuk bertemu jodoh. Aku harus berikhtiar, bersabar dan
jangan sesekali berputus asa. Kerana jodoh itu rahsia Allah. Bila, siapa, di
mana dan bagaimana, itu semua hanya Allah yang Maha Mengetahui dan yang penting
semua itu dah tertulis di Luh Mahfuz.
Dalam
keadaan yang macam ni, aku tak perlu la turutkan sangat dengan tekanan perasaan
dan sindiran dari orang-orang sekeliling. Tapi bila fikirkan balik, aku perlu
juga muhasabah diri sendiri. Selama ni aku dah cukup usaha dan ikhtiar ke dalam
mencari jodoh? aku pernah minta pada Allah supaya diringankan jodoh pada setiap
kali sujud kepadaNya? Berapa kali aku bangun dan bersolat hajat pada malam hari
memohon dipermudahkan jodoh? Pernahkah aku solat sunat Dhuha, memohon limpahan
rezeki berupa jodoh yang baik dan keluarga yang sakinah? Berapa kali aku solat
taubat, memohon keampunan agar doa aku untuk mendapat jodoh tidak terhalang
disebabkan dosa-dosa silam aku? Dan cukupkah ikhtiar aku dengan solat
istikharah agar tidak terburu-buru membuat keputusan dan pilihan hanya kerana
terdesak?
Subhanallah,
aku baru tersedar semua tu..
Selain itu,
cuba aku muhasabah diri aku. Adakah ikhtiar aku selama ini menepati syariat
yang digariskan oleh Allah? Adakah aku sudah menahan diri daripada bergaul
bebas dengan mereka yang bukan mahram? Adakah aku sudah menjaga diri daripada
berhias berlebih-lebihan hanya untuk menarik perhatian kaum lelaki? Seandainya
sudah menepati syariat tapi masih gagal, redha dan yakinlah bahawa Allah telah
merancang yang terbaik buat aku. Teruskan usaha dan bersabarlah...
Namun di
sebalik ikhtiar dan kesabaran, aku juga haruslah mengkaji apakah hikmahnya
ujian Allah terhadap aku yang lambat jodoh. Mungkin aku hanya memandang kelebihan
orang yang cepat jodoh, dapat menjadi ibu dan bapa lebih awal dan dapat
melaksanakan sunnah lebih awal. Tapi sedarkah aku yang lambat jodoh masih juga
punya kelebihan? Saat inilah masanya untuk aku berbakti kepada ibu bapa aku. Bila
aku sudah berumahtangga, keadaan mungkin berbeza kerana terpaksa membahagi masa
untuk keluarga sendiri dan juga untuk ibu bapa. Saat ini jugalah masanya untuk aku
menimba ilmu sebanyak-banyaknya. Dalami ilmu agama, ilmu untuk menguruskan
rumahtangga dan ilmu untuk mendidik anak-anak agar aku lebih bersedia apabila
tiba saatnya nanti.
Akhir
sekali, aku rasa aku mungkin tak perlu terlalu bersedih hati. Setiap yang
berlaku ada hikmahnya. Jaga iman dan hati agar tidak tertipu dengan hasutan nafsu.
Jaga maruah seorang wanita, jangan sampai nasibnya menjadi seperti epal yang
masak ranum di puncak pohon, tapi akhirnya gugur ke bumi lalu membusuk dan
tidak berguna hanya kerana tiada yang sudi memetiknya... SEKIAN…..
*Ilham dari bacaan…….
No comments:
Post a Comment